MAJLIS PECAH TANAH LOJI POLISILIKON GRED SEMIKONDUKTOR RM2 BILION OLEH OTSM
- Loji ini akan menghasilkan 8,000 metrik tan polisilikon gred semikonduktor berketulenan tinggi setiap tahun, dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2029.
- Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 10 tahun yang dimeterai bersama Sarawak Energy Berhad akan memastikan loji ini menggunakan tenaga boleh diperbaharui.
- Projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 200 peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
BINTULU, 16 JULAI 2025 – OCI Tokuyama Semiconductor Materials Sdn. Bhd. (OTSM) hari ini mencatat satu lagi pencapaian penting menerusi majlis pecah tanah bagi pembinaan loji polisilikon gred semikonduktor baharu di Taman Perindustrian Samalaju di sini.
Loji bernilai RM2 bilion ini akan dibina di atas tanah seluas 13.7 hektar dan akan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 8,000 metrik tan setahun untuk dieksport ke pasaran teknologi utama di Korea, Jepun dan Taiwan.
Pembinaan loji dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dengan kerja-kerja mekanikal disasarkan siap pada suku pertama 2027. Loji ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2029.
OTSM merupakan syarikat usaha sama 50-50 antara OCI TerraSus Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh OCI Holdings dari Korea Selatan dan Tokuyama Corporation dari Jepun.
Usaha sama ini dijangka mewujudkan kira-kira 200 peluang pekerjaan baharu, menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak dan membangunkan bakat teknikal tempatan.
Loji ini merupakan projek utama kedua OCI TerraSus di Sarawak, susulan pelancaran usaha sama dengan Kumho P&B Chemicals – OCI Kumho – pada tahun 2024 bagi pengeluaran epiklorohidrin (ECH), sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan resin epoksi, rawatan air dan industri getah.
Majlis pecah tanah ini disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Ia turut diserikan dengan majlis pertukaran dokumen perjanjian pembelian
tenaga (PPA) antara OCI TerraSus dan Syarikat Sesco Berhad, cabang operasi dan runcit Sarawak Energy.
Menerusi perjanjian ini, loji baharu itu akan menerima bekalan tenaga sebanyak 80 megawatt daripada Sarawak Energy bagi tempoh 10 tahun, bermula sebaik operasi loji dimulakan pada tahun 2029.
Dalam ucapannya, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata,“Ini adalah satu pencapaian penting dalam usaha memajukan pembangunan industri berteknologi tinggi, khususnya di rantau ini. Ia juga mencerminkan komitmen kami terhadap usahasama lestari untuk memacu masa depan.”
Beliau menambah bahawa,“Majlis pecah tanah ini adalah bukti kukuh keyakinan terhadap kestabilan, infrastruktur dan visi jangka panjang negeri kita. Ia turut mengesahkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi yang lestari, strategik dan diyakini di rantau ini … Dengan pelaburan ini, Sarawak memperkukuh peranannya dalam rantaian nilai semikonduktor global dan melangkah setapak lagi ke arah menjadi hab pembuatan teknologi tinggi di rantau ini.”
Dalam ucapannya, Pengerusi OCI Holdings dan OCI TerraSus, Lee WooHyun berkata usaha sama antara OCI TerraSus dan Tokuyama ini amat bermakna kerana ia menyatukan dua gergasi industri – Korea dan Jepun – dalam satu projek di luar Korea, sesuatu yang jarang berlaku dalam industri ini.
“Ia adalah cerminan kukuh keyakinan kami terhadap Sarawak sebagai destinasi pelaburan strategik.
“Kami percaya loji ini bukan sekadar struktur fizikal – tetapi simbol kepada apa yang dapat dicapai melalui visi, nilai dan kerjasama yang selari.
“Ia menjadi contoh kepada inovasi, kelestarian dan impak tempatan yang bermakna.”
Lee menambah, pelaburan ini juga membuktikan kepimpinan, kestabilan dan masa depan Sarawak, khususnya di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.
“Kami yakin loji OTSM ini akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi tersebut dengan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan membawa amalan terbaik global.
“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Sarawak Energy Berhad kerana mewujudkan ekosistem yang menggalakkan pertumbuhan industri secara bertanggungjawab. Dasar strategik mereka serta infrastruktur tenaga boleh diperbaharui menjadi pemacu utama kerjasama antarabangsa ini.”
Melalui usaha sama ini, Lee berkata OTSM juga berhasrat menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran.
“Institusi seperti CENTEXS dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak memainkan peranan penting dalam menyediakan bakat untuk sektor semikonduktor global dan tenaga bersih.
“OCI TerraSus berbangga dapat mengukuhkan lagi kehadiran kami di Sarawak. Ini bukan sekadar pelaburan dalam infrastruktur – tetapi pelaburan dalam rakyat, inovasi dan masa depan
bersama yang dibina atas kelestarian dan kepercayaan,” tambah Lee.
Terdahulu, Presiden Tokuyama Corporation, Hiroshi Yokota dalam ucapan yang dirakamkan menyatakan keyakinan bahawa projek ini akan terus memperkukuh ekonomi Sarawak,
khususnya dalam industri semikonduktor di mana Sarawak, katanya, telah pun memainkan peranan penting dalam rantaian nilai semikonduktor global.
“Dengan kepakaran teknikal serta pengalaman OCI dan Tokuyama, ditambah sokongan Kerajaan Negeri Sarawak, tenaga kerja berbakat di rantau ini dan sumber tenaga yang
kompetitif, kami yakin dapat menghasilkan produk berkualiti tinggi secara konsisten.
“Kami percaya projek ini dapat memberi sumbangan besar kepada ekonomi tempatan Sarawak melalui penciptaan peluang pekerjaan baharu, penambahbaikan infrastruktur serantau dan pembangunan tenaga kerja teknikal yang mahir,” katanya.